SEREMBAN - Suasana di Pasaraya Mydin Mall Seremban 2, petang kelmarin, menjadi gamat apabila penyanyi diminati ramai Anuar Zain hadir mempromosikan album terbaharunya.
Orang ramai sanggup bersesak di hadapan pentas yang terletak di ruang legar pasar raya tersebut, semata-mata mahu melihat penyanyi berkenaan mendendangkan lagu kegemaran mereka.
Masing-masing juga tidak mahu ketinggalan mengabadikan kenangan bersama idola mereka itu pada sesi menandatangani autograf yang diadakan sejurus selepas persembahan.
Dalam kesibukan suasana, Sinar Harian sempat bertanyakan beberapa soalan kepada Anuar mengenai persembahan terbabit.
Menurut penyanyi itu, kerjasama pintar bersama Mydin antara inisiatif beliau untuk mendekati peminat.
“Kalau orang tengok, seseorang penyanyi itu di kaca televisyen atau gambar, mungkin sekadar kenal macam itu saja. Tapi tak kenal seadanya. Bagi saya dengan promosi sebegini bersama Mydin, saya dapat lebih dekatkan diri dengan peminat.
“Ramai yang ucap terima kasih pada saya kerana datang ke Seremban. Bagaimana perasaan anda mendengarnya? Walhal, saya patut berterima kasih kerana sudi hadir menyaksikan persembahan dan beli CD,” katanya yang teruja dengan sambutan diberikan.
Sebagai seorang penyanyi dan ahli perniagaan, katanya, beliau juga harus turun padang untuk meyakinkan orang ramai sekali gus memberi informasi mengenai albumnya.
“Saya dan pasukan bekerja keras untuk lahirkan album ini. Kami harus buat promosi habis-habisan. Ini antara apa yang kami lakukan dengan bajet dimiliki, juga dengan bantuan pihak penaja.
“Harapnya kedua pihak, mendapat sesuatu yang positif,” katanya mengakhiri bicara
.