TANAH
 liat satu permainan yang amat disukai kanak-kanak sejak berzaman. Yang membezakannya adalah jenis produk dibuat agar lebih menarik.
Dahulu, tanah liat hanya dijadikan permainan untuk dibentuk objek disukai kanak-kanak dan ia boleh diubah kepada bentuk yang lain.
Tetapi kini, pelbagai jenis produk berasaskan tanah liat hadir di pasaran sehingga ada antara produk tanah liat dijadikan cenderahati.
Salah satu produk yang mula trend kini iaitu Clay. Clay, tanah liat yang dibentuk dengan pelbagai objek kemudian dikeraskan agar tahan lasak sebagai cenderahati.
Seorang suri rumah, Norakma Aini, 28, berkata, mengetahui akan kehadiran Clay yang kini semakin menjadi trend di laman sosial Facebook, menimbulkan rasa ingin memilikinya.
“Saya mula lihat produk tersebut di Facebook dan ia sesuatu yang unik serta comel apabila, rekaan yang dibuat amat teliti dan hanya dibuat menggunakan tanah liat.
“Kini saya selalu tempah Clay dengan seorang kenalan yang buat produk tersebut untuk dijadikan hadiah kahwin kawan atau hiasan di rumah,” katanya.
Menurutnya, mungkin sebelum ini tanah liat hanya diketahui boleh dibentuk menjadi objek tidak kekal lama, tetapi Clay yang dihasilkan kini keras serta tahan lama untuk disimpan.
“Selain itu, ia produk buatan tangan yang memberikan keunikan tersendiri dan sememangnya jika dijadikan cenderahati, ia sesuatu yang baru.
“Dari segi harga juga, bagi saya tidaklah terlalu mahal iaitu lebih kurang RM35 ke atas bergantung pada saiz Clay,” katanya.
Hadiah unik  dan 'rare'
Sementara itu, seorang penuntut, Nurul Atikah Rosmadi, 25, berkata, dia mula mengetahui Clay itu di laman sosial Instagram.
“Sekali pandang pada gambar yang dilampirkan di Instagram itu memang agak unik dan rare, jadi saya pilihnya sebagai salah satu produk cenderahati kepada sepupu dan kawan-kawan yang kahwin serta konvokesyen.
“Rekaan juga amat menarik kerana ia mengikut cita rasa yang kita mahukan. Kawan yang terima juga memberitahu, mereka sukakan dengan hadiah yang saya berikan itu kerana unik dan cantik,’ katanya.
Nurul Atikah bercadang untuk menempah Clay tersebut sebagai simpanan peribadinya kerana sesuai dijadikan perhiasan di rumah.
“Clay tersebut boleh disangkut di dinding atau dilekatkan pada peti sejuk dan dijadikan tempat menggantung kunci, jadi pelbagai pilihan boleh disesuaikan,” katanya.
Bukan itu sahaja, produk tersebut boleh dijadikan pelbagai guna sebagai perhiasan atau tempat penyimpanan barang.
Clay ternyata memberi satu alternatif baginya untuk menyimpan memori bersama keluarga dan rakan, berdekatan dengan dirinya.
Sasar 1,500 unit sebulan
Bagi salah seorang pembuat Clay, Nor Azalia Roslan, 22, berkata, sejak mula diperkenalkan tahun lalu kepada keluarga dan rakan-rakan, sambutan Clay amat memberangsangkan.
Menurutnya, Clay yang dihasilkan diperbuat daripada jenis tanah liat yang perlu dibakar terlebih dahulu agar bentuk yang dihasilkan keras dan tahan lama.
“Saya terfikir nak buat satu kelainan cenderahati berasaskan tanah liat yang boleh dilekatkan di peti sejuk atau gantung di dinding.
“Apa yang membezakan adalah idea dalam reka bentuk objek pada cenderahati Clay itu sesuai dengan permintaan pelanggan,” katanya.
Pelajar Universiti Teknologi Mara Merbok ini berkata, biarpun masih dalam pengajian, tetapi usaha mencari duit sampingan bagi menanggung pengajian, memberinya idea untuk hasilkan Clay tersebut.
“Cara membuat Clay ini, lebih kurang sama membuat kek, kerana kita perlu panaskan ia di dalam oven mengikut suhu tertentu.
“Jika salah masa dan suhu, Clay tidak akan menjadi sama ada hangus atau lembik. Jadi saya perlu pantau Clay yang di dalam oven agar cantik hasilnya,” katanya.
Percaya produk Clay mampu pergi jauh, Nor Azalia menyasarkan menghasilkan lebih kurang 1,500 unit Clay sebulan.
“Sehingga kini, tempahan banyak di mana dalam sebulan, saya perlu siapkan 1,000 Clay.
"Justeru, tahun ini saya harap permintaan meningkat demi mencari rezeki untuk menampung pengajian,” katanya.
Nor Azalia berkata, setiap unit Clay dijual pada harga yang sangat berpatutan iaitu sekitar RM35 hingga RM70 bergantung saiz.
“Ramai yang minta saya buat sebagai cenderahati kawan kahwin, atau hadiah hari jadi dan hadiah konvokesyen,” katanya
.