MACHANG - Guna papan dan paku untuk rawat gigi.
Bunyinya mungkin mengarut, namun kebolehan warga emas, Che Soh Abdullah, 78, merawat pesakit gigi secara tradisional diakui ramai, khususnya penduduk sekitar Temangan, di sini.
Pesakit tidak perlu makan ubat atau air tawar, sebaliknya hanya perlu duduk di atas sekeping papan yang kemudiannya dipakukan dengan sepucuk paku di atas papan itu.
Insya-ALLAH pesakit akan pulih seperti sediakala, seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku pada gigi mereka.
Pada mulanya penulis sendiri tertawa apabila diberitahu ada bomoh gigi yang mampu menyelesaikan masalah sakit gigi yang dihadapi penulis tanpa perlu ke klinik namun, sebagai wartawan, sikap ingin tahu mendorong penulis mendekati bomoh di Kampung Pauh, dekat Temangan itu.
Bukan bomoh cuma membantu pesakit
Saat dikunjungi penulis, Che Soh atau lebih senang membahasakan dirinya sebagai Pak Soh hanya tersenyum lebar apabila dimaklumkan hajat penulis untuk menulis tentang kebolehannya, malah dia sendiri menafikan dirinya sebagai bomoh gigi.
"Pak Soh bukan bomoh tapi boleh cuba mengusahakannya jika ada orang sakit gigi. Pak Soh cuma nak tolong, malah tiada bayaran yang ditetapkan. Kalau mereka bagi, Pak Soh ambil kalau tak bagi pun tak apa.
"Pak Soh belajar ilmu ini dengan seorang rakan berketurunan Jawa ketika mengambil upah membuat rumah kira-kira 15 tahun lalu.
"Kebetulan ketika kami sedang bekerja bersama, ada budak menangis sakit gigi dan dia membantu budak itu. Dari situ,  Pak Soh meminta ilmunya dan dia tanpa banyak tanya terus ajar Pak Soh," katanya ketika dikunjungi Sinar Harian, kelmarin.
Menurut Che Soh, bukan hanya penduduk tempatan yang mendapatkan khidmatnya tetapi juga dari seluruh negeri ini.
Katanya, cerita kebolehannya itu dikongsi dari mulut ke mulut oleh pesakitnya terutamanya kepada rakan-rakan serta saudara-mara mereka.
Tambahnya, rawatan itu boleh dilakukan di mana-mana sahaja dan pada bila-bila masa asalkan ada sekeping papan dan sepucuk paku.
"Pak Soh memang suka bertanya dan belajar jadi bila tengok orang berubat, Pak Soh akan bertanya. Itu memang tabiat sejak remaja.
"Kalau mereka nak ajar, Pak Soh sangat gembira tetapi kalau tak mahu pun, Pak Soh tak kisah,” katanya.
Jelas Che Soh, tindakan memaku papan tersebut cuma satu simbolik untuk mematikan ‘ulat’ gigi dan tidak bermaksud apa-apa.
Guna ayat al-Quran sebagai doa
Katanya, dia menggunakan ayat-ayat al-Quran sebagai doa agar sakit gigi tersebut hilang dan tidak lagi membelenggu pesakit.
Tegasnya, tiada mantera atau apa-apa yang bertentangan Islam diguna pakai semasa proses tersebut dan pesakit juga tidak terikat dengan sebarang pantang larang.
Tambah Che Soh, kebanyakan pesakit yang datang ke rumahnya adalah mereka yang fobia dengan doktor gigi dan juga tidak mampu menanggung kesakitan selepas ubat tahan sakit juga tidak berhasil.
"Ada yang datang tengah-tengah malam dan awal pagi namun Pak Soh tak kisah sebab tahu mereka sangat sakit. Kalau tidak, mesti mereka tunggu esok," katanya.
Mampu keluarkan sengkenit dalam telinga
Selain membantu pesakit gigi, Che Soh juga mampu membantu mereka yang menghadapi masalah sengkenit atau lebih dikenali sebagai 'piras' dalam kalangan penduduk tempatan yang masuk ke dalam telinga.
Katanya, haiwan tersebut akan 'dipanggil' keluar tanpa menggunakan sebarang alat memandangkan telinga akan sakit apabila digigit haiwan kecil itu.
"Pak Soh belajar ilmu ini secara tidak sengaja dengan seorang bidan dan alhamdulillah, ilmu ini sangat membantu, bukan sahaja keluarga sendiri tetapi juga masyarakat sekitar," katanya
.