BATU GAJAH - “Saya tak cari kekaguman orang, saya hanya cari rezeki”.
Kata-kata itu diluahkan mekanik cacat penglihatan, Azhar Ibrahim, 34, saat ditanya pandangan masyarakat terhadap kebolehannya mengurus dan membaiki motosikal di bengkel yang diusahakan sejak lima tahun lalu, di sini.
Menurutnya, keinginan untuk membabitkan diri secara serius dalam bidang berkenaan bermula sejak tujuh tahun lalu selepas melihat motosikal kepunyaan ayahnya sering rosak walaupun sudah dibaiki berkali-kali.
Katanya, bertitik tolak daripada insiden tersebut, dia nekad untuk mempelajari kemahiran membaiki motosikal melalui seorang rakan yang secara kebetulan menawarkan diri untuk mengajarnya.
“Saya ambil masa sebulan belajar dengan dia (kawan) mengenai selok-belok membaiki motosikal. Kebetulan saya pun memang minat, mungkin itu yang membuatkan masa belajar jadi singkat.
“Selain kawan, saya tak pernah belajar secara formal di mana-mana institusi atau pusat latihan yang menawarkan pengajian dalam bidang ini,” katanya.
Meskipun terbatas melalui penglihatan, Azhar yang mesra dengan panggilan Yob itu menjelaskan deria rasa memainkan peranan penting bagi memastikan alat ganti dipasang dengan betul tanpa sebarang kesilapan.
Katanya, sehingga kini kerja-kerja membuka, memasang selain mengganti alatan yang terdapat pada bahagian motosikal dilakukan sendiri menggunakan deria rasa dan tanpa bantuan rakan-rakan.
“Deria rasa amat penting. Dari situ, saya boleh tahu di mana skru, blok, karburetor dan bahagian-bahagian lain yang terdapat pada motosikal.
“Kalau nak cakap macam mana saya boleh mahir gunakan deria rasa, itu saya tak boleh nak digambarkan dengan kata-kata. ALLAH yang beri semua ini,” katanya.
Dia berkata, sehingga kini ratusan motosikal daripada pelbagai model pernah dibaiki sepanjang penglibatannya dalam bidang berkenaan.
“Daripada servis ganti tayar, baiki blok, hinggalah ke ‘overhaul’. Insya-ALLAH saya boleh buat,” katanya.
 Dapat keyakinan daripada pelanggan
Ditanya mengenai tahap keyakinan pelanggan terhadap hasil kerjanya, Azhar berkata, dia akan bertanya terlebih dahulu kepada mereka sebelum kerja-kerja membaiki dilakukan.
“Kalau mereka tak yakin, saya sendiri syorkan kepada mereka mencari bengkel lain di sekitar kawasan ini," katanya.
Katanya, kebanyakan pelanggan bukan hanya terdiri daripada penduduk sekitar malah ada dalam kalangan mereka datang dari luar termasuk Ipoh dan Kedah.
“Ramai hantar baiki (motosikal) adalah penduduk setempat tetapi ada juga sebelum ini yang datang dari Ipoh dan Kedah.
“Bila ditanya bagaimana tahu (baiki motosikal), mereka kata, rakan-rakan saya yang beritahu dan cadangkan,” katanya.
Rakan bantu beli alat ganti
Azhar berkata, sekiranya alat ganti yang dimahukan pelanggan tidak terdapat di bengkelnya, dia akan meminta bantuan rakannya untuk membeli barangan tersebut di pekan Batu Gajah atau Ipoh.
“Alhamdulillah, setakat ini rakan-rakan banyak membantu. Mereka yang akan jadi ‘runner’ kepada saya jika ada barangan yang perlu dibeli dari luar,” katanya.
Katanya, jika modal untuk membeli alatan ganti tersebut agak besar, dia akan meminta wang pendahuluan daripada pelanggan terlebih dahulu bagi memastikan kerjanya berjalan lancar.
“Saya terpaksa minta kerana ada kalanya saya tak mempunyai wang yang mencukupi. Alhamdulillah, setakat ini mereka memahami,” katanya.
Impian miliki bengkel baru
Berkongsi mengenai impiannya, dia berharap satu hari nanti dirinya mampu membuka bengkel yang lebih selesa untuk dirinya dan juga pelanggan pada masa akan datang.
Menurutnya, perkara itu dirasakan perlu memandangkan bengkelnya hanya beroperasi di kawasan kediaman milik keluarganya.
“Saya harap dan kalau boleh ada pihak-pihak yang boleh membantu saya menjadikan perkara ini sebagai satu kenyataan.
“Dengan adanya bengkel baru juga, saya boleh melebarkan dan meluaskan perniagaan ini,” katanya
.