Friday 3 February 2017

Mi Besi pakar ukir sarung parang



Mi Besi pakar ukir sarung parang
Azmi mementingkan kesempurnaan dalam setiap ukirannya.

BERMULA hanya sekadar hobi dan dihasilkan di rumah, namun setelah menyedari ramai yang melihat keunikan serta kehalusan hasil tangannya membuatkan pengukir dan pembuat sarung parang, Azmi Azhar Ahmad, 42, mula memikirkan sesuatu yang lebih menguntungkan.
Seperti dijangka, usaha Azmi atau lebih dikenali sebagai Mi Besi mengembangkan kemahiran dimiliki mendapat sambutan serta permintaan luar biasa daripada pelbagai pihak.
Lebih hebat lagi apabila permintaan serta tempahan sarung parang yang diterima datangnya daripada luar Kuala Kubu Bharu hingga ke serata Semenanjung Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak.
Menurut Azmi yang merupakan bekas tentera, khidmat yang disediakan bukan saja membuat sarung parang, beliau juga mengambil tempahan membuat sarung pisau melapah, parang penyembelihan, keris, pedang dan cenderahati daripada bahan kayu-kayan.

Pengalaman 15 tahun
Malah, kemahirannya membentuk batu cincin daripada batu-batuan digunakan sebaiknya dengan menyediakan khidmat membuat batu cincin.
“Sudah lebih 15 tahun saya terlibat dalam pembuatan sarung parang.
“Pada mulanya orang hantar besi parang dan pisau kemudian saya buatkan sarung.
“Ada juga saya ketuk besi sendiri dan tempah besi dari kawan sebelum dijual,” katanya.
Bagi Azmi, proses pembuatan sarung parang sudah dianggap mudah namun memerlukan ketekunan serta kesabaran.
Menurutnya, antara jenis kayu yang digunakan untuk dijadikan sarung parang seperti kemuning, sepetih, macang hutang, rengas, sena, arang bunga dan banyak lagi yang kebiasaannya diambil sendiri di Pahang dan Perak.
“Bahan atau kayu yang digunakan untuk hasilkan sarung parang atau pisau perlu berkualiti sebab itu kayu saya ambil sendiri di Pahang dan Perak.
“Proses awal perlu lukis atau lakar bentuk di atas kayu, selepas itu potong dan tebuk atas. Kemudian proses kedua mengemaskan ukiran, haluskan dan varnish sebelum dikeringkan,” katanya.

Pembuatan cincin
Menurutnya, sehari beliau boleh menghasilkan 10 hingga 15 potongan sarung parang dan dua minggu diperlukan untuk menyiapkan sepenuhnya.
Katanya, harga sebilah pisau atau parang dijual antara RM100 hingga RM800 bergantung kepada saiz dan kualiti.
Katanya, selain dijual di kedainya beliau juga aktif menyertai pameran, ekspo atau karnival yang dianjurkan di seluruh negara.
Sementara itu, Azmi berkata, permintaan batu cincin kebiasaannya diterima untuk pasangan yang hendak bertunang atau bernikah.
“Harga bergantung kepada kualiti dan jenis batu seperti delima, nilam, zamrud, tanzanite, akid sulaiman, yaman dan sungai daris.
“Ada yang suka batu bermotif (bercorak) dan saya pernah jual sebiji batu cincin pada harga RM4,500,” katanya.
Katanya, jika ada yang berminat membuat tempahan boleh ke kedainya di alamat No. 1, Kedai PLB, Jalan Syed Mashor, Kuala Kubu Bharu.


No comments:

Post a Comment