KUALA TERENGGANU – Tuah seorang anak muda dari Kampung Ladang, di sini apabila joran tunggal yang dibawanya berjaya menaikkan haruan seberat 775gm sekali gus melayakkan dia muncul johan bagi Pertandingan Ngail Ikan Darat Fiesta Integrasi Rakyat.
Shaiful Nizam Sharif, 24, berkata, sebelum ini nasib tidak pernah menyebelahinya kerana dia belum pernah muncul johan bagi mana-mana pertandingan memancing yang disertai.
Katanya, dia tidak menyangka pada saat akhir pertandingan yang diadakan selama dua jam bermula jam 3 hingga 5 petang itu joran yang dibawanya mengena seekor haruan.
“Saya biasa masuk pertandingan sembat ikan di kolam di Tepoh, tetapi hanya berjaya dapat sagu hati sahaja dan dapat ikan dalam 5kg lebih.
“Walaupun banyak kali mencuba nasib dalam pertandingan memancing tetapi belum pernah berjaya membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak ini. Alhamdulillah, pertandingan ngail ikan darat kali ini ada rezeki muncul juara,” katanya.
Ditanya perancangan yang akan dibuat dengan wang tunai RM5,000 yang dimenanginya itu, katanya, dia akan simpan untuk kegunaan masa depan dan dibelanjakan bagi keperluan keluarga dan hal-hal penting.
Pertandingan Ngail Ikan Darat Fiesta Integrasi Rakyat yang menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah RM15,000 mendapat 800 penyertaan termasuk dari Marang, Dungun dan Setiu.
Turut hadir Penyelaras Dun Batu Buruk, Zamri Awang Hitam yang menyampaikan hadiah kepada pemenang serta Pengarah JPJ Terengganu, Abdul Rahman Emang Anyie.
Sementara itu, Pengerusi JKKK Gong Baru, Hanafiah Ismail berkata, Pertandingan Ngail Ikan Darat Fiesta Integrasi Rakyat dianjurkan JKKK, Kawasan Rukun Tetangga (KRT), Persatuan Kelab-Kelab Belia Malaysia (MAYC) dan Komuniti 1Malaysia.
Katanya, pertandingan yang diadakan sejak 1999 itu diadakan sebanyak empat kali setahun dan mendapat sambutan memberangsangkan dalam kalangan penduduk kampung bagi merebut hadiah lumayan yang ditawarkan.
“Tujuan pertandingan ini ialah untuk menyemai perpaduan dalam kalangan peserta dan orang ramai. Setiap kali pertandingan diadakan, pemancing sama akan hadir beri komitmen, walaupun begitu,  kita juga menerima pemancing dari luar seperti dari Hulu Terengganu dan daerah-daerah lain.
“Kita akan teruskan agenda bagi menjayakan lagi program sebegini untuk mengeratkan lagi hubungan dalam kalangan penduduk kampung dan penduduk dari daerah-daerah lain,” katanya
.