KUALA PILAH – Seorang pesara kerajaan mengalami kerugian dianggarkan RM5,000 setelah sarang lebah kelulut yang diletakkan di pekarangan rumah di Kampung Tanjung Ipoh, dicuri awal pagi Ahad lalu.
Mangsa, Salleh Ahmad, 61, berkata, ketika kejadian dia sekeluarga sedang tidur sebelum dikejutkan oleh seorang jiran pada jam 4.30 pagi.
Menurutnya, jirannya yang dikenali sebagai Maznah ternampak sekumpulan lelaki seramai empat orang memunggah sarang lebah kelulut dan memasukkan ke dalam bonet kereta jenis Proton Saga.
“Bila mereka sedar kegiatan itu diperhatikan, keempat-empat mereka telah melarikan diri manakala jiran (Maznah) pergi ke Balai Polis Tanjung Ipoh untuk membuat laporan,” katanya.
Salleh berkata, sejurus itu, sepasukan peronda polis telah tiba ke rumahnya untuk membuat siasatan mengenai kes kecurian berkenaan.
“Saya dapat tahu lima sarang lebah kelulut telah dibawa keluar diletakkan di tepi pintu pagar namun apa yang pasti, hanya sebuah sarang serta dua bumbung yang sempat dilarikan.
“Pencuri pada awalnya mahu curi kesemua sarang itu tetapi  bila jiran menjerit pencuri, mereka terus melarikan diri,” katanya ditemui semalam.
Jelasnya, dia telah membuat laporan polis pada jam 5.30 pagi di Balai Polis Tanjung Ipoh.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Haslah Bachok berkata, berdasarkan laporan polis, pihaknya telah melakukan siasatan menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di sebuah kedai berhampiran.
Menurutnya, melalui CCTV berkenaan polis telah meneliti rakaman itu dan berjaya mengenal pasti ketiga-tiga suspek yang terbabit dalam kes tersebut.
“Rentetan itu, sepasukan anggota polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis (IPD) Kuala Pilah telah ke rumah salah seorang tertuduh di Melang.
“Kita berjaya menahan ketiga-tiga suspek berusia 15 hingga 20 tahun pada jam 5.30 petang di lokasi berbeza dalam daerah ini pada 28 Februari lalu (kelmarin).
"Turut dirampas sebuah Proton Saga berwarna biru manakala kesemua barang yang dicuri dipercayai telah jual,” katanya.
Beliau berkata, kesemua suspek akan direman bermula semalam dan disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.