Wednesday, 20 April 2016

Popia cheese semakin digemari




Popia cheese semakin digemari

RANGUP dan sedap dimakan sekiranya dihidangkan bersama minuman sejuk atau panas. Berintikan ayam dan disaluti keju atau 'cheese' menambahkan lagi keenakan popia itu.     

Cara menyediakannya ringkas dan makanan yang berasal dari seberang ini dijadikan kudapan untuk minum petang, majlis tertentu dan keraian.
Ada juga menjadikan popia cheese sebagai hadiah dan buah tangan kerana ia dijual dalam bentuk sejuk beku dan di gerai biasa.
Pemilik F3sweets Enterprise, Jamilah Mohd Ali berkata, popia cheese menjadi antara produk terlaris dan dia menerima tempahan daripada pelbagai bangsa.
Katanya, popia cheese sangat mudah untuk dihasilkan kerana ia tidak membabitkan bahan-bahan rumit untuk disediakan kerana hanya memerlukan ayam, bawang dan kulit popia.
“Popia cheese yang dijual adalah sejuk beku dengan harga serendah RM8 sahaja. Alhamdulillah, sambutan yang diterima menggalakkan dan kebanyakannya dari sekitar Lembah Klang.
“Saya hanya menjual melalui media sosial dan rakan-rakan.  Saya menjual secara kecil-kecilan sahaja pada awal tahun lalu setelah diminta rakan untuk menyediakannya kerana dia mahu mengadakan rumah terbuka,” katanya.
Jamilah berkata, sejak itu, tempahan meningkat dan dia perlu menyediakan lebih 50 paket sehari.
“Kebanyakan pelanggan saya adalah peniaga, pemilik katering dan individu. Mereka yang pernah menempah akan mengulanginya kembali,” katanya.
Jamilah berkata, dia akan menerima tempahan seawal dua hari kerana proses penghantaran dilakukan pada setiap hari Sabtu dan Rabu.
“Kebanyakan pelanggan saya adalah dari Putrajaya, Klang, Petaling Jaya, Kuala Lumpur, Selayang dan Shah Alam. Saya mengenakan caj tertentu dan mereka perlu membeli dalam kuantiti tiga ke atas,” katanya.
Tambahnya, dia juga menerima tempahan dalam kuantiti yang banyak, antaranya untuk dihidangkan di rumah terbuka dan majlis tertentu.
Selain menjual popia cheese, Jamilah juga menjual beberapa kuih-muih lain, antaranya seri muka, kuih talam, karipap, murtabak roti dan sebagainya.
Ringkas dan mudah
Pekerja swasta, Norlida Shaari berkata, popia cheese adalah menu yang akan menjadi pilihan untuk dihidangkan apabila menerima tetamu.
“Ia dijadikan kudapan selain makanan berat lain. Ia menjadi kegemaran saudara-mara yang berkunjung ke rumah seperti makanan wajib,” katanya.
Norlida  berkata, dia mula mengenali popia cheese sejak tahun lalu setelah diperkenalkan anak saudaranya.
“Pada mulanya saya tidak menyukainya kerana rasanya yang tidak original kerana ada cheese. Lama-kelamaan saya boleh menerimanya dan akan membelinya pada setiap minggu kerana ada penjual di Bangi, Selangor.
Katanya, kadang-kala dia membuat sendiri kerana bahan yang digunakan untuk membuat inti popia sendiri ialah lobak, ubi sengkuang, timun, kacang tumbuk dan sambal.         “Namun popia cheese juga menjadi pilihan tetamu yang datang kerana ringkas dan mudah untuk disediakan. Ia hanya perlu digoreng sahaja. Harga popia cheese juga berpatutan,” katanya.
Menu ringkas mengenyangkan
Bagi kakitangan awam, Siti Najwanis Zainun, popia cheese menjadi kegemarannya kerana mempunyai semua ramuan makanan yang berzat.
“Popia cheese adalah menu ringkas dan mengenyangkan kerana berintikan ayam, sedikit sayur dan cheese. Malah, kulit popia itu juga dibuat sendiri oleh penjual yang dikenalinya sejak beberapa tahun lalu,” katanya.
Menurutnya, kehadiran pelbagai jenis popia yang diinovasikan tidak menepati cita rasanya selama ini sehinggalah dia diperkenalkan popia cheese.
“Apabila suami memperkenalkan popia cheese awal tahun lalu, saya terus meminta dia membelikan lagi. Popia cheese menyelerakan apabila dihidangkan bersama minuman panas mahupun sejuk.
“Ia tidak mengambil masa yang lama untuk disediakan. Hanya perlu menggoreng sahaja dengan api yang sederhana,” katanya.
Siti Najwanis berkata, sekiranya tidak sempat menempah, dia akan membuatnya sendiri.
“Saya mempelajari daripada rakan untuk menyediakan popia cheese dan akhirnya berjaya,” katanya.
Sementara itu, bagi pekerja swasta, Muhammad Amirul Ahmad, popia cheese adalah kegemaran anak-anaknya kerana ia tidak pedas.
“Popia cheese menjadi kudapan anak-anaknya terutamanya pada waktu petang selepas pulang dari sekolah.
“Ia dihidangkan terlebih dahulu sebelum makan malam. Mereka makan bersama sos atau lebihan kuah kari, asam pedas, masak lemak cili api dan sebagainya,” ujarnya.
Katanya, selalunya lebih 10 popia digoreng dan tidak sampai setengah jam ia akan habis.

No comments:

Post a Comment