TANPA disedari, selebriti jelita dan menawan ini telah berkecimpung dalam industri Hollywood selama 20 tahun.
Kate Hudson atau nama sebenarnya, Kate Garry Hudson mula mencipta nama menerusi filem Almost Famous pada 2000.
Lebih bermakna, filem komedi arahan Cameron Crowe itu berjaya meletakkan Hudson dalam satu penanda aras baharu di Hollywood.
Ini kerana, ibu kepada dua anak ini berjaya menggondol kategori Aktres Pembantu Terbaik di Golden Globe Awards, Satellite Awards, Dallas-Fort Worth Film Critics, Kansas City Film Critics dan Florida Film Critics.
Selain itu, Hudson turut dicalonkan dalam beberapa anugerah terkenal seperti Academy Awards, British Academy Film Awards dan Screen Actors Guild.
Sejak itu, bakatnya mulai dipandang dan Hudson juga membintangi pelbagai filem seperti How to Lose a Guy in 10 Days (2003), Raising Helen (2004), The Skeleton Key (2005), You, Me and Dupree (2006), Fool’s Gold (2008), Bride Wars (2009), Nine (2009),
The Killer Inside Me (2010), Something Borrowed (2011), The Reluctant Fundamentalist (2013), Wish I Was Here (2014), Good People (2014), Rock the Kasbah (2015) dan Kung Fu Panda 3 (2016).
Menariknya, anak kelahiran Los Angeles, California ini tidak menggunakan pengaruh kedua ibu bapanya biarpun dilahirkan sebagai anak pasangan selebriti, Bill Hudson dan Goldie Hawn.
Pun begitu, Hudson menyifatkan ibunya Hawn dan dua anaknya sebagai sumber inspirasinya sejak dahulu.
"Ibu saya seorang wanita yang hebat dan kekal menjadi ‘role model’ sejak dahulu.
Saya juga cukup sayangkan kedua-dua anak lelaki dan mempelajari banyak perkara tentang hidup daripada mereka.
"Melihat anak-anak membesar depan mata selain berkomunikasi sememangnya mencetuskan inspirasi buat saya untuk kekal dalam industri," jelasnya.
Bahkan, demi memastikan kerelevenannya dalam industri, Hudson turut mencuba pelbagai jenis watak.
"Saya cukup meminati watak komedi, tetapi saya perlu menvariasikan watak bagi mengelak menjadi bosan asyik ditawarkan watak yang sama.
"Buat masa ini, saya gemar melihat sejauh mana kemampuan saya menjadi pelakon versatil dan tidak sekadar berada di dalam zon selesa,” ujarnya.

Kongsi rahsia cantik, menawan
Mencecah usia 36 tahun, Hudson mengakui sangat menikmati kehidupannya sebagai seorang wanita yang berkarisma.
"Saya cukup tidak faham dengan tanggapan sesetengah pihak kononnya, usia sebegini merupakan detik terbaik dalam hidup.
"Jika ini dianggap sebagai waktu prima buat saya, apa lagi yang tinggal dengan baki kehidupan saya selepas ini?
"Jadi, saya lebih suka menikmati usia sebegini terutamanya apabila dianugerahkan anak-anak yang comel," jelasnya.
Bahkan, Hudson kini belajar untuk lebih menghargai bentuk tubuhnya serta menerapkan pola hidup yang lebih baik selepas menjalankan prorgram diet selama lebih setahun.
Bukan itu sahaja, bekas isteri Chris Robinson ini turut berkongsi pengalamannya itu menerusi buku tulisannya, Pretty Happy: Healthy Ways to Love Your Body.
Katanya, ramai wanita yang terlalu fokus akan hasil diet mereka sehingga melupakan prosesnya.
"Tubuh yang indah dapat dicapai dengan jiwa sihat.
"Sihat, kuat dan cantik adalah daripada dalam ke luar. Jadi, percayalah kepada tubuh badan anda," katanya.

Perjumpaan semula?
Dalam perkembangan lain, Hudson kembali ke ‘rencah makanannya’ apabila membintangi filem komedi arahan Garry Marshall, Mother’s Day.
Berkongsi pengalamannya, kata Hudson membintangi filem itu seolah-olah mengadakan satu perjumpaan semula (reunion).
"Sebenarnya, saya mengenali Marshall sejak kecil lagi. Ketika kecil, saya selalu menemani ibu (Hawn) di lokasi penggambaran.
"Sayalah kanak-kanak kecil itu dan Marshall sering sahaja menjerit ‘action’ atau ‘rolling’.
"Kini, keadaan sebaliknya berlaku. Saya pula yang berlakon manakala anak-anak saya menemani saya di lokasi penggambaran," katanya.
Selain Hudson, filem komedi romantik ini turut membariskan barisan artis terkenal seperti Jennifer Aniston dan Julia Roberts.
Mother’s Day menceritakan empat wanita iaitu seorang hos televisyen, janda yang mencari cinta, gadis yang tidak tahu siapa ibunya dan seorang wanita yang mencari jalan untuk mengukuhkan lagi hubungan dengan ibunya.
Apakah yang terjadi? Nantikannya di pawagam menjepang 5 Mei ini.