NEELOFA tidak dapat menyembunyikan rasa teruja kerana bakal menunaikan haji bersama ibu dan bapanya pada 5 September depan.
Neelofa atau nama sebenarnya, Noor Neelofa Mohd Noor, 27, yang ditemui pada majlis rumah terbukanya di De’Gouffron, Taman Tun Dr Ismail baru-baru ini, melahirkan rasa bersyukur kerana dalam usia muda dijemput ALLAH SWT untuk menjadi tetamu-Nya, malah niatnya itu dipermudahkan dalam masa singkat.
Akan berada di Tanah Suci sehingga 20 September nanti, Neelofa memberitahu sepanjang di Tanah Suci nanti, dirinya tidak akan lupa memohon segala urusan hidupnya diberkati ALLAH SWT selain berdoa dipercepatkan bertemu jodoh.
“Sejak awal tahun ini, saya menyimpan niat untuk menunaikan haji dan berharap ia dimakbulkan ALLAH SWT. Alhamdulillah, tidak sangka semua urusan dipermudahkan dan impian itu akhirnya menjadi kenyataan.
“Saya hanya berdoa semua urusan saya di sana nanti akan berjalan lancar dan mendapat keredaan ALLAH SWT. Sebelum ini, saya pernah dua kali ke Tanah Suci untuk mengerjakan umrah, sudah pasti saya gembira kerana dapat kembali ke sana malah lebih bermakna kerana saya ke Makkah bagi menunaikan Rukun Islam kelima,” katanya.
Pengacara rancangan Meletop ini turut menyatakan rasa rindu pada suasana tenang dan damai setiap kali beribadah di Tanah Suci.
“Saya hanya mampu berdoa supaya perjalanan saya kali ini dipermudahkan. Saya tidak tahu apa ujian yang akan diberikan ALLAH SWT nanti.
“Saya sentiasa mengingatkan diri setiap apa juga dugaan ALLAH SWT adalah untuk membawa saya lebih dekat kepada-Nya. Apa yang penting, saya perlu lakukan persiapan mental,” katanya.
Kembali berlakon
Sementara itu, Neelofa kini sedang sibuk mempersiapkan diri untuk kembali ke set lakonan apabila menjayakan drama 16 episod arahan Micheal Ang iaitu Suri Hati Mr Pilot, yang memulakan penggambarannya pada 21 Ogos ini.
“Saya akan bergandingan bersama Fattah Amin dalam drama berkenaan. Saya akan menyambung penggambaran selepas pulang menunaikan haji sehingga hujung September.
“Selepas tiga tahun berehat, saya rindu untuk kembali berlakon semula dan akan menyiapkan tugas berkaitan sepenuhnya pada tahun ini,” katanya.
Dalam pada itu, Neelofa turut memaklumkan jenama tudungnya Naelofar akan mengeluarkan koleksi terbaru yang diberi nama Warda iaitu koleksi yang akan dipakai oleh Warda iaitu wataknya dalam setiap episod drama  Suri Hati Mr Pilot nanti.
Sebelum ini Neelofa pernah memaklumkan kesibukannya sebagai pengacara beberapa buah program menyebabkan dia terpaksa melupakan hasrat untuk berlakon drama.
“Komitmen terhadap bidang pengacaraan menyebabkan saya terpaksa menolak tawaran berlakon drama bersiri kerana ia mengambil masa yang panjang untuk disiapkan.
“Saya tidak mahu menyusahkan pihak produksi jika tidak dapat hadir pada penggambaran atau tidak berdisiplin kerana sibuk dengan perkara lain,” katanya.